JAKARTA: Pelaksanaan pelan damai dipersetujui dengan junta tentera Myanmar pada 2021, kekal satu keutamaan kepada ASEAN, kata Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi.

Walaupun isu Myanmar dianggap kompleks, ASEAN perlu melakukan perkara yang betul, sejajar dengan pelan damai lima perkara.

Kenyataan dikeluarkan Retno selepas Forum ASEAN-Serantau di Jakarta pada Jumaat.

Forum ASEAN Serantau (ARF) merupakan forum keselamatan tahunan ASEAN, dihadiri diplomat dari seluruh dunia, termasuk China, Amerika Syarikat (AS) dan Rusia.

ASEAN masih lagi bergelut untuk menamatkan krisis berdarah negara anggotanya, Myanmar.

Keganasan di Myanmar meningkat sejak junta melaksanakan rampasan kuasa pada 2021 dan melancarkan gerakan memburu pemimpin prodemokrasi.

Pemimpin Myanmar disekat daripada mesyuarat blok ASEAN, susulan kegagalan memenuhi perjanjian untuk menamatkan krisis dan memulakan dialog.